24 March, 2017

RM50.00

Rezeki itu ada mahal dan ada murah, usaha kamu yang menjadikannya murah atau mahal

Situasi : Di dalam kereta menuju ke pejabat.

Aku bekerja di sebuah syarikat swasta. Hari-hari ku dipenuhi dengan kerja yang tak pernah habis untuk habuan dunia. Aku masih mencari dunia hingga terkadang akhirat seperti dilupakan. Bak kata orang, hidup ini umpama makan sampai kenyang, jika masih belum kenyang, kau harus mencari lagi untuk kenyang supaya rasa lapar itu tiada. Tamak.

Hari ini aku ke pejabat agak lewat. Semalaman seharian menghabiskan dokumen tender yang perlu dihantar pagi ini. Moga dapatlah rezeki untuk meneruskan operasi syarikat ini dan menanggung hidup anak dan bini. Jam di tangan menunjuk angka 11, Ya Allah lupa aku hari ini adalah hari Jumaat. Masa singkat yang menyebabkan kemalasan menjelma tiba.

Sebenarnya aku lebih suka suasana senyap semasa memandu. Pada kebiasaannya aku lebih tekun tanpa ada bunyi mendesak untuk mendengar. Entah bagaimana pada hari ini, jari aku rajin melarik memulas mencari siaran, dan jari ini juga berhenti ke kiri dan kanan untuk membenarkan telinga berfungsi sepenuhnya untuk mendengar.

Aku mulai termangu dalam senyap menuruti seperti dibomoh oleh ceramah seorang ustaz yang tidak diketahui siapa. Entah bagaimana hati berbisik halus supaya aku melekat dengan suara corong sakti di dalam kereta ini.

“Sidang pendengar sekalian, hari ini hari penuh berkah, penuh rahmat, hari Jumaat, penghulu segala hari. Mulakanlah hari pendengar sekalian dengan kebaikan. Yang mana tak pernah nak menderma, pergilah menderma. Yang mana selalu tersengguk di dalam masjid, usahakan untuk hari ini supaya mata membulat dan resapi setiap inti maksud yang akan disampaikan oleh imam”.

Aku semakin mulai bosan dengan apa yang diceramahkan. Namun watak malas mencari stesyen lain membiarkannya berbunyi menerawang tapi tidak masuk ke dalam hati aku secara lurus.

Ustaz menyambung lagi, “Saya ingin bertanya, setiapkali anda semua ke masjid, derma yang diberi adalah RM1 sahajakah, atau RM10 sahaja atau RM100, yang mana?”.

“Tentulah kebiasaan pilihan hati adalah RM1, itu pun sebab ianya dah kusut dicalit kotoran makanan semasa diluar masjid tadi kan, betul tak”.

Aku, “BETUL, ustaz”, mengiyakan di dalam hati.

“Apa kata hari ini kita buat satu perubahan, perubahan lain dari yang lain, saya praktikkan ini setiap kali berjumaat. Kamu yang mendengar ini mahu tahu bagaimana?”.

Eh, ustaz ni bertanya macam aku depan dia, aku bergelak gatal. Dalam hati ya, ustaz saya nak tahu bagaimana.

“Begini caranya, buka dompet atau sarung duit kamu. Lihat di dalamnya, apakah kepingan duit yang paling besar. Jika di dalamnya RM10 paling besar, maka ambil dan masukkan terus ke dalam tabung masjid. Tanpa soalan terus masukkan. Lepas itu doalah di dalam hati, Allah Maha Mendengar doa-doa hati hambaNya”.

“Dermaan duit itu dengan seikhlas hati moga Allah ganti dengan lebih baik”.

Kata-kata ustaz ini diakhirnya amat menusuk kalbu aku bak memercik pekatan darah kotor yang keluar dari hati aku. Semoga darah kotor itu dibuang untuk aku cuba cara yang ustaz ini berikan.

“Akhir kata daripada saya, cubalah, kamu semua akan tahu kuasa magis derma itu sendiri”.

Aku, terkesima seolah hilang akal disihir.

Situasi : Menuju ke masjid.

Panas…sangat panas, didihan peluh membasahi baju kerja ku, air liur ditelan tapi tekak masih kering. Bahana cuaca panas tengahari bikin malas nak ke masjid menunaikan Jumaat. Berkali-kali aku menelan air liur. Menelan seperti menelan udara kering bukan air.

Namun syaitan tewas dengan aku, walau langkah berat, aku gagah juga mendikit ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Woi dua rakaat sahaja kot. Sedetik kembali ingatan aku pagi tadi seperjalanan ke pejabat sambil mendengar bicara ustaz itu.

Aku semakin tertarik, ini juga satu punca aku menyusun tatih kaki bergerak ke masjid dengan perasaan untuk mencuba seikhlas hati seperti yang diwar-warkan oleh ustaz pagi tadi.

Oh sebelum terlupa, aku perlu melihat kepingan warna apa yang berada di dalam dompet. Pabila dibuka, terpampang satu not sahaja. Aku terbeliak mata melihat, ish lain macam dia punya warna. Biasanya aku memecahkan kepingan ini bukan untuk derma, tapi beratur membeli barang keperluan harian atau sekotak tembakau hembusan asap.

Beb RM50 lah, duit kertas lain pun tiada. Aku mulai memikir ke mana hilangnya warna kepingan yang lain. Biru, Hijau dan Merah tidak kelihatan. Cubaan mengingat kembali akhiran tempat warna-warna kepingan nafsu dunia.

“Ah, pedulikan ini semua, kerja syaitan lah ini, hendak menghasut aku lah tu agar simpan rapi semula ke dalam”, degus hati kecil.

Entahlah, mungkin titisan darah kotor yang dirobek tadi dah kering dan hilang. Aku mulai ambil dan masukkan terus ke tabung “Derma untuk Kebajikan Masjid”.

Huh bersilat rasa hati, terus berdoa moga Allah berikan rezeki yang baik. Rasanya hari ini dan pertama kalinya aku rasakan tenang melihat kepingan itu menggelungsur ke lubang kecil tabung derma. Aku melihat kembali dompet, tiada lagi warna-warna kertas yang silau, yang tinggal hanya syiling berlaga satu sama lain, tak lebih tak kurang RM1.00.

Dan tika khutbah dibacakan, aku pulun mendengar. Ya, pertama kali juga aku tak berdengkur melayan ritma khubah yang terkadang bertona tinggi dan rendah. Andai ada sesi soal jawab selepas ini, setiap intipati khutbah aku dapat ringkaskan bait-bait kisahnya. Lain perasaan hari ini dengan satu tindakan tadi.

Situasi : Pulang dari masjid.

“Daud, jom makan, ko tak lapar ke?, khutbah hari ini betul punya panjang” ajak Karim, kawan sekerja carian rezki.

“Maaflah Karim, aku dah makan” tipu aku dengan perut bergitar laksana Slash mengoreng melodi dengan gigil padahal, kepingan duit sudah tiada di dalam kocek.

“Ko jangan nak menipu boleh tak, aku tahu lah ko mana makan lagi. Dah jom, hari ini aku belanja makan”, marah Karim pada aku sambil menarik tangan aku.

“Ya, ya aku ikut. Sebab ko nak belanja, aku makan hahaha ”, dalam hatiku, terima kasih Allah, rezki ini telah diatur.

Situasi : Kedai Makan.

“Daud, ko ada dengar-dengar tak pasal syarikat kita kerja ni”, soal Karim.

“Eh bang, pasal apa, aku tak tahu apa-apa pun”, cemas aku, ahh sudah, syarikat nak hentikan operasi ke?, soal aku dalam hati.

“Ko tak payah buat muka cemas boleh tak?, syarikat nak bayar bonus lah, ko tahu tak B.O.N.U.S…bonus”, gelak Karim, mungkin dia perasan muka aku berubah.

“Hahaha, laaa, aku tak tahu pun”, jujur aku menjawab. Itulah aku, tidak ambil peduli apa kejadian, cerita di dalam pejabat. Sebab aku memang tak suka bergosip kiri kanan, atas bawah. (Baca:puji diri sendiri).

“Ko apa tahu, datang kerja, mesyuarat, makan, minum, buat Overtime, itulah yang ko tahu, ini isu penting woi”, ujar Karim.

“Ada rezeki ada lah, ko ingat tak tahun lepas, macam ni lah situasinya, setiap hari menunggu tapi tak pasti, bajet nak beli itu ini, semua tinggal kenangan pahit membukam hati”, nada sedikit kecewa aku kata pada Karim.

“Amboi ayat, ya, tahun lepas, aku ingat”, kata Karim dalam nada perlahan.

“Dah lah, cepat makan, nak balik opis (pejabat), kerja aku menggunung, si Bella dah nak beranak tu, banyak kerja aku kena tanggung bila dia cuti nanti”.

Aku nampak Karim masam mencuka, mungkin kegembiraan dia bermimpikan bonus hilang dibawa ingatan cerita aku tahun lepas.

Situasi : Pejabat.

“Daud ooooooi Daud, mana ko, bos panggil woiii” sergah Karim. Terus terjaga aku dari lena 10saat.

“Ko ni tak kacau aku satu hari tak boleh ke?”, getus aku.

“Woi, bos panggil, tahu tak, panggil masuk ke bilik dia”, kuat suara Karim berteriak.

“Aduh, apa salah aku pulak ni, semalam punya dokumen dah bagi, ada salah ke? Ada tertinggal ke dokumen tender yang dah submit pagi tadi? Salah dokumen client ke?”fikir aku resah mendalam.

“Pergi jelah, ko tanya, aku bukan boleh jawab pun….pergi”, marah Karim lagak seperti pengadil bola menghalau aku keluar daripada padang selepas kad merah dilayangkan.

Berlarian safa marwah aku ke bilik bos. Dari balik kaca, kelihatan serius muka bos menunduk ke paparan telefon cerdiknya.

“Salam bos”, ucap aku getar.

“Ha kamu Daud, duduk”garau suara bos.

“Kamu tahu kenapa saya panggil kamu ke bilik”tegas bos.

“Dokumen tender tadi ada tertinggal ke bos?”
“Dokumen teknikal ke dokumen harga?”
“Saya dah scan semua yang bertandatangan”,
“Saya minta maaf bos”,
“Saya dah masukkan semua bos”,
“Ya, salah saya, saya tak semak betul-betul”.

Bos gelak.

Aik, dia gelak, aku punyalah rasa bersalah dia gelak. Aku dah rasa mesti ada salah aku berkaitan dengan tender hari ini. Aduh, mesti penyata bank lupa masuk ke dalam dokumen kot, tuntas fikiran aku merumus.

“Kamu ni kenapa, dah gila, saya tanya kamu, kamu tanya dan jawab pada saya. Kamu ni dah tak betul ke?”, sinis bos.

“Berkenaan dengan tender hari ini, saya dah semak sebelum kamu hantar, Alhamdulillah semua lengkap dan tersusun, tetapi ada juga salah tadi pada Jadual Teknikal, sedikit sahaja, saya dah minta Karim betulkan sebelum dihantar semula, semua selesai, awak tak perlu risau. Insya Allah jika ada rezeki, kita perolehinya. Ingat!, rezeki Allah yang beri, kita berusaha secara HALAL untuk mendapatkannya”.

FUH, lega hati yang pucat kusam. Kembali merah memberi sinar. Kalau ada cermin di depan muka, boleh aku melihat muka ini daripada pucat kembali merah berdarah memenuhi ruang pipi ku yang berjerawat.

“Saya panggil kamu ke bilik ini bersebab, kamu adalah pekerja saya yang berdedikasi. Setiap tugasan dan kerja yang saya beri awak lakukan dengan baik dan memenuhi masa yang telah saya tetapkan”, puji bos

Aku, kembang dan kempis hidung bagai dipam berawangan ke atas.

“Saya harap kamu meneruskan kerja yang cemerlang ini, tahun lepas syarikat tak berupaya memberi bonus sebab terdapat beberapa projek kita yang perlu ditambah tempoh masa, ada kerugian yang perlu ditanggung oleh syarikat”, terang bos.

“Saya tahu, ramai yang kecewa berkenaan dengan cerita bonus tahun lepas, tapi saya rasa itulah yang terbaik syarikat boleh lakukan pada waktu itu. Projek berjuta tidak semestinya untung pun berjuta. Dan ini memberi ujian sebenarnya kepada kakitangan untuk lebih produktif pada tahun ini”.

“Mana yang tak tahan, dan katakan hanya bos sahaja untung telah pun keluar daripada syarikat ini, itulah ujian yang tersedia dan daripada kejadian inilah saya dapat menilai di mana hati pekerja saya semasa syarikat menghadapi kesusahan”, luah bos lagi.

“Saya harap awak dapat bersama dengan syarikat ini seterusnya untuk tahun mendatang”.

“Orait, bos”jawab aku sepatah.

“Nah, ambil sampul ini, dalam ini ada cek untuk kamu, bonus tahun ini. Ada rezeki lebih kita kongsi sama. Syarikat untung pun dari Allah yang beri. Saya anggap saya ini seperti orang tengah, jambatan untuk menghubungkan rezeki kamu ini. Rezeki ini milik semua. Dan tak salah saya berkongsi juga dengan kakitangan saya. Saya harap awak terus bekerja dan beri komitmen yang tinggi dengan setiap amanah kerja yang diberi”.

“Alhamdulillah, terima kasih Allah, terima kasih bos”, ceria aku tunjuk gigi.

“Panggil Karim”

“Eh, bukan dia dah jumpa bos ke sebelum saya?”, tanya aku.

“Saya panggil kamu dahulu sebabnya kamu ni tak kecoh murai seperti Buletin Utama macam Karim”,jawab bos.

Aku tergelak, “Hahaha, baik bos, saya menurut perintah”.

Aku terus memanggil Karim untuk mengadap bos. Tangan kanan masih mengenggam erat sampul berisi cek. Dengan gelisah tenang, aku carik membuka sampul;

AHMAD DAUD BIN AWANG
LIMA RIBU RINGGIT SAHAJA RM5,000.00

“Allah…, Allah…, Allah… Maha… Besar…, Allah… Maha… Besar…”tersekat-sekat aku mengalun menyebut nama Tuhan yang Satu. Mata berkaca tapi sempat disela agar tiada tumpahan melimpahi takungan mata.

Terkejut, aku terkejut, sepantas hari ini, Allah memberi janji-janjiNya. Manusia tidak pernah yakin akan kuasa derma. Tapi hari ini, kejadian ini, mengubah persepsi aku mengenai derma.

Sepantas itu teringat kembali doaku selepas memasukkan kepingan RM50 ke dalam tabung masjid tadi.

“Ya Allah, jadikan hatiku ini bersih untuk ikhlas membantu agama Mu. Moga dengan ini murah lah rezeki ku. Jika ada rezki ku yang halal Kau berkatilah Ya Allah, jika ada rezki ku yang haram Kau sucikanlah Ya Allah, murahkan rezki ku untuk kesenangan di dunia dan kesihatan di akhirat”, bergetar halus suara ku berdoa.


--> Ya, Allah Maha Mendengar, mendengar doa-doa hati hambaNya, itu kamu perlu Y.A.K.I.N

No comments:

2020 kereta masih bersesak dijalanan!

Sehingga coretan ditulis, kereta masih melalui tol dan tiada yang berterbangan seperti yang digambarkan semasa umurku 10 tahun. Selamat Da...