28 March, 2017

Mencari pendoa ikhlas!

Lantung atau wangi, hidungmu bersuara, itulah manusia, disedut aromanya, boleh beri tenang atau limas!

Selamat bersiaran, Entah bagaimana mahu bermula, sudah lama tidak memenatkan diri menaip bait-bait perkataan yang diterjemah otak untuk pandangan mata.

Ceritanya bermula apabila aku bersiar membuang masa di sebuah kedai mamak tahap kebersihan "A". Sambil menghirup cangkir kopi '0' panas, kelat dan pahit kurang gula. Mata melilau menjamu selera. Akhirnya ekor mata terpandang satu susuk tubuh gemuk yang berlapis-lapis perutnya. Aktif gerakan tangan menyuap roti separa garing ke dalam kerongkong mulut bagaikan harimau mendapat mangsanya.

Sambil telan dan kunyah, dia mengusik kaca telefon pintarnya, aku seperti pernah lihat jejaka tua ini. Memori mengimbas untuk mengenal siapa dia sebenarnya. Aduh, semakin tua, otak seperti malas berfikir untuk mengingat. Manusia menjadi lumrah bila terlupa akan sesuatu, akhirnya boleh teringat kembali bila TAKBIR diangkat semasa sedang berurusan beribadat pada Nya.

Hmm biarlah, nak ditegur nanti salah orangnya pula. Tapi jika sekali imbas, ya dia memang sahabat aku sedari kecil. Sedang aku mengelamun menerawang berusaha untuk mengenalpasti siapa si dia ini, dia disapa oleh seseorang yang aku rasa bukan kenalannya.

Mengapa aku berkata begitu, kerana jika dilihat dari segi pakaiannya, koyak rabak, lusuh berbau, rambutnya, kusut masai, misainya, berjela panjang menutup mulut, giginya, kuning dan hitam mungkin sudah lama tidak mencuci berus.

Namun begitu, Si Dia (aku namakannya) tersenyum apabila Sang Koyak (seseorang itu) ini menegur, seolah langsung tidak mengganggunya makan, amat berselera menghirup saki baki kari canai di atas pinggan aluminium bercorak pelita itu.

Si Dia mempersilakan Sang Koyak duduk bersamanya, memanggil 'mamak' untuk mengambil pesanan makanan. Kelihatan wajah Sang Koyak memang teruja, bersembur air liur memesan untuk dimakan, lapar barangkali. Ahh, kau lihatlah dunia, sekeliling yang duduk berhampiran dengannya telah mengangkat punggung untuk beredar ke meja lain. Mungkin selera hilang melihat jasad yang tidak terurus itu berdekatan dan mungkin berbau, dan aku...nasib baik jauh, kah..kah..kah..

Asyik sungguh aku melihat perlakuan dua manusia ini, lama aku perhatikan dengan penuh tekun hingga tegukan kopi seperti tidak terluak dihirup. Agak pantas juga Sang Koyak menghabiskan butiran nasi sehingga licin menjilat pinggan dan mengigit-gigit sisa ais ketul sebelum mencair disedut sekuat-kuatnya.

Si Dia masih lagi senyum dan berbicara bersama Sang Koyak, tiada apa yang diendahkan walaupun orang yang lalu memandang dengan pandangan sinis. Mungkin senang hatinya melihat Sang Koyak kenyang membuntang mata. Tiba-tiba Sang Koyak menadah tangan tinggi persis berdoa, terkumat-kamit mulutnya seperti menuturkan ayat-ayat laksana bomoh Malaysia. Habis perlakuannya itu, dia terus mencium tangan Si Dia yang aku cuba ingat dan berlalu sambil menyanyi dengan girang dan kenyang.

Akhirnya...akhirnya, ingatan aku sudah kembali pulih. Ya, Si Dia memang kenalan sekolah ku semasa di sekolah rendah, tapi dia sekolah lain, cuma kami bertemu semasa lawan bolasepak antara sekolah. Aku hanya penjaga gol simpanan dan dia mewakili sekolahnya sebagai pertahanan.

Tanpa sedetik masa berlalu, aku terus menerpa dia, cuba membuat kejutan. Dia mengangkat wajahnya dan merenung aku dengan wajah soal. Mungkin dia ingat aku ini Sang Koyak yang kembali semula.

Aku terus memperkenalkan diri, mengulang dan bertanya adakah dia adalah orang yang benar seperti di dalam fikiran. Ya, akhirnya dia pun mulai mengecam wajah aku, ramai kata aku ini seperti pelakon, tapi entahlah tak ketahuan pelakon yang mana. Kami bertukar-tukar maklumat untuk dihubungi, lebih 20 tahun tidak ketemu. Aku berjanji padanya aku akan menghubunginya semula nanti. Agak lewat pula jika sambung bersembang nanti, banyak urusan lain perlu dia dan aku hendak selesaikan.

Di dalam kereta aku cuba mengimbas susuk tubuh itu. Kemas, bergaya, laksana orang meniaga besar-besar. Bukan calang orangnya Si Dia tadi, oh lupa namanya Izwan Nasril bin Mohamad. Sambil memegang kad niaganya, aku membaca;

Dato' Seri Izwan Nasril bin Mohamad
Pengurus Besar
Rezki Berkat Holding

Erkkk, Dato' Seri, kah kah kah, dah lah tadi aku membahasakan aku-kau sahaja. Ok, kita berjumpa lagi....nanti.

No comments:

2020 kereta masih bersesak dijalanan!

Sehingga coretan ditulis, kereta masih melalui tol dan tiada yang berterbangan seperti yang digambarkan semasa umurku 10 tahun. Selamat Da...