Rezeki itu ada mahal dan ada murah, usaha kamu yang menjadikannya murah atau mahal
Aku
bekerja di sebuah syarikat swasta. Hari-hari ku dipenuhi dengan kerja yang tak
pernah habis untuk habuan dunia. Aku masih mencari dunia hingga terkadang
akhirat seperti dilupakan. Bak kata orang, hidup ini umpama makan sampai
kenyang, jika masih belum kenyang, kau harus mencari lagi untuk kenyang supaya
rasa lapar itu tiada. Tamak.
Hari
ini aku ke pejabat agak lewat. Semalaman seharian menghabiskan dokumen tender
yang perlu dihantar pagi ini. Moga dapatlah rezeki untuk meneruskan operasi
syarikat ini dan menanggung hidup anak dan bini. Jam di tangan menunjuk angka
11, Ya Allah lupa aku hari ini adalah hari Jumaat. Masa singkat yang
menyebabkan kemalasan menjelma tiba.
Sebenarnya
aku lebih suka suasana senyap semasa memandu. Pada kebiasaannya aku lebih tekun
tanpa ada bunyi mendesak untuk mendengar. Entah bagaimana pada hari ini, jari
aku rajin melarik memulas mencari siaran, dan jari ini juga berhenti ke kiri
dan kanan untuk membenarkan telinga berfungsi sepenuhnya untuk mendengar.
Aku
mulai termangu dalam senyap menuruti seperti dibomoh oleh ceramah seorang ustaz
yang tidak diketahui siapa. Entah bagaimana hati berbisik halus supaya aku
melekat dengan suara corong sakti di dalam kereta ini.
“Sidang
pendengar sekalian, hari ini hari penuh berkah, penuh rahmat, hari Jumaat, penghulu
segala hari. Mulakanlah hari pendengar sekalian dengan kebaikan. Yang mana tak
pernah nak menderma, pergilah menderma. Yang mana selalu tersengguk di dalam
masjid, usahakan untuk hari ini supaya mata membulat dan resapi setiap inti
maksud yang akan disampaikan oleh imam”.
Aku
semakin mulai bosan dengan apa yang diceramahkan. Namun watak malas mencari
stesyen lain membiarkannya berbunyi menerawang tapi tidak masuk ke dalam hati
aku secara lurus.
Ustaz
menyambung lagi, “Saya ingin bertanya, setiapkali anda semua ke masjid, derma
yang diberi adalah RM1 sahajakah, atau RM10 sahaja atau RM100, yang mana?”.
“Tentulah
kebiasaan pilihan hati adalah RM1, itu pun sebab ianya dah kusut dicalit
kotoran makanan semasa diluar masjid tadi kan, betul tak”.
Aku,
“BETUL, ustaz”, mengiyakan di dalam hati.
“Apa
kata hari ini kita buat satu perubahan, perubahan lain dari yang lain, saya praktikkan
ini setiap kali berjumaat. Kamu yang mendengar ini mahu tahu bagaimana?”.
Eh,
ustaz ni bertanya macam aku depan dia, aku bergelak gatal. Dalam hati ya, ustaz
saya nak tahu bagaimana.
“Begini
caranya, buka dompet atau sarung duit kamu. Lihat di dalamnya, apakah kepingan
duit yang paling besar. Jika di dalamnya RM10 paling besar, maka ambil dan
masukkan terus ke dalam tabung masjid. Tanpa soalan terus masukkan. Lepas itu
doalah di dalam hati, Allah Maha Mendengar doa-doa hati hambaNya”.
“Dermaan
duit itu dengan seikhlas hati moga Allah ganti dengan lebih baik”.
Kata-kata
ustaz ini diakhirnya amat menusuk kalbu aku bak memercik pekatan darah kotor
yang keluar dari hati aku. Semoga darah kotor itu dibuang untuk aku cuba cara
yang ustaz ini berikan.
“Akhir
kata daripada saya, cubalah, kamu semua akan tahu kuasa magis derma itu
sendiri”.
Aku,
terkesima seolah hilang akal disihir.
Situasi : Menuju ke masjid.
Panas…sangat
panas, didihan peluh membasahi baju kerja ku, air liur ditelan tapi tekak masih
kering. Bahana cuaca panas tengahari bikin malas nak ke masjid menunaikan
Jumaat. Berkali-kali aku menelan air liur. Menelan seperti menelan udara kering
bukan air.
Namun
syaitan tewas dengan aku, walau langkah berat, aku gagah juga mendikit ke
masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Woi dua rakaat sahaja kot. Sedetik
kembali ingatan aku pagi tadi seperjalanan ke pejabat sambil mendengar bicara
ustaz itu.
Aku
semakin tertarik, ini juga satu punca aku menyusun tatih kaki bergerak ke
masjid dengan perasaan untuk mencuba seikhlas hati seperti yang diwar-warkan
oleh ustaz pagi tadi.
Oh
sebelum terlupa, aku perlu melihat kepingan warna apa yang berada di dalam
dompet. Pabila dibuka, terpampang satu not sahaja. Aku terbeliak mata melihat,
ish lain macam dia punya warna. Biasanya aku memecahkan kepingan ini bukan
untuk derma, tapi beratur membeli barang keperluan harian atau sekotak tembakau
hembusan asap.
Beb RM50
lah, duit kertas lain pun tiada. Aku mulai memikir ke mana hilangnya warna
kepingan yang lain. Biru, Hijau dan Merah tidak kelihatan. Cubaan mengingat
kembali akhiran tempat warna-warna kepingan nafsu dunia.
“Ah,
pedulikan ini semua, kerja syaitan lah ini, hendak menghasut aku lah tu agar
simpan rapi semula ke dalam”, degus hati kecil.
Entahlah,
mungkin titisan darah kotor yang dirobek tadi dah kering dan hilang. Aku mulai
ambil dan masukkan terus ke tabung “Derma untuk Kebajikan Masjid”.
Huh
bersilat rasa hati, terus berdoa moga Allah berikan rezeki yang baik. Rasanya
hari ini dan pertama kalinya aku rasakan tenang melihat kepingan itu menggelungsur
ke lubang kecil tabung derma. Aku melihat kembali dompet, tiada lagi
warna-warna kertas yang silau, yang tinggal hanya syiling berlaga satu sama
lain, tak lebih tak kurang RM1.00.
Dan
tika khutbah dibacakan, aku pulun mendengar. Ya, pertama kali juga aku tak
berdengkur melayan ritma khubah yang terkadang bertona tinggi dan rendah. Andai
ada sesi soal jawab selepas ini, setiap intipati khutbah aku dapat ringkaskan
bait-bait kisahnya. Lain perasaan hari ini dengan satu tindakan tadi.
Situasi : Pulang dari masjid.
“Daud,
jom makan, ko tak lapar ke?, khutbah hari ini betul punya panjang” ajak Karim,
kawan sekerja carian rezki.
“Maaflah
Karim, aku dah makan” tipu aku dengan perut bergitar laksana Slash mengoreng
melodi dengan gigil padahal, kepingan duit sudah tiada di dalam kocek.
“Ko
jangan nak menipu boleh tak, aku tahu lah ko mana makan lagi. Dah jom, hari ini
aku belanja makan”, marah Karim pada aku sambil menarik tangan aku.
“Ya,
ya aku ikut. Sebab ko nak belanja, aku makan hahaha ”, dalam hatiku, terima
kasih Allah, rezki ini telah diatur.
Situasi : Kedai Makan.
“Daud,
ko ada dengar-dengar tak pasal syarikat kita kerja ni”, soal Karim.
“Eh
bang, pasal apa, aku tak tahu apa-apa pun”, cemas aku, ahh sudah, syarikat nak
hentikan operasi ke?, soal aku dalam hati.
“Ko
tak payah buat muka cemas boleh tak?, syarikat nak bayar bonus lah, ko tahu tak
B.O.N.U.S…bonus”, gelak Karim, mungkin dia perasan muka aku berubah.
“Hahaha,
laaa, aku tak tahu pun”, jujur aku menjawab. Itulah aku, tidak ambil peduli apa
kejadian, cerita di dalam pejabat. Sebab aku memang tak suka bergosip kiri
kanan, atas bawah. (Baca:puji diri sendiri).
“Ko
apa tahu, datang kerja, mesyuarat, makan, minum, buat Overtime, itulah yang ko tahu, ini isu penting woi”, ujar Karim.
“Ada
rezeki ada lah, ko ingat tak tahun lepas, macam ni lah situasinya, setiap hari
menunggu tapi tak pasti, bajet nak beli itu ini, semua tinggal kenangan pahit membukam
hati”, nada sedikit kecewa aku kata pada Karim.
“Amboi
ayat, ya, tahun lepas, aku ingat”, kata Karim dalam nada perlahan.
“Dah
lah, cepat makan, nak balik opis (pejabat), kerja aku menggunung, si Bella dah
nak beranak tu, banyak kerja aku kena tanggung bila dia cuti nanti”.
Aku
nampak Karim masam mencuka, mungkin kegembiraan dia bermimpikan bonus hilang
dibawa ingatan cerita aku tahun lepas.
Situasi : Pejabat.
“Daud
ooooooi Daud, mana ko, bos panggil woiii” sergah Karim. Terus terjaga aku dari
lena 10saat.
“Ko
ni tak kacau aku satu hari tak boleh ke?”, getus aku.
“Woi,
bos panggil, tahu tak, panggil masuk ke bilik dia”, kuat suara Karim berteriak.
“Aduh,
apa salah aku pulak ni, semalam punya dokumen dah bagi, ada salah ke? Ada
tertinggal ke dokumen tender yang dah submit
pagi tadi? Salah dokumen client ke?”fikir
aku resah mendalam.
“Pergi
jelah, ko tanya, aku bukan boleh jawab pun….pergi”, marah Karim lagak seperti
pengadil bola menghalau aku keluar daripada padang selepas kad merah
dilayangkan.
Berlarian
safa marwah aku ke bilik bos. Dari balik kaca, kelihatan serius muka bos
menunduk ke paparan telefon cerdiknya.
“Salam
bos”, ucap aku getar.
“Ha
kamu Daud, duduk”garau suara bos.
“Kamu
tahu kenapa saya panggil kamu ke bilik”tegas bos.
“Dokumen
tender tadi ada tertinggal ke bos?”
“Dokumen
teknikal ke dokumen harga?”
“Saya
dah scan semua yang bertandatangan”,
“Saya
minta maaf bos”,
“Saya
dah masukkan semua bos”,
“Ya,
salah saya, saya tak semak betul-betul”.
Bos
gelak.
Aik,
dia gelak, aku punyalah rasa bersalah dia gelak. Aku dah rasa mesti ada salah
aku berkaitan dengan tender hari ini. Aduh, mesti penyata bank lupa masuk ke
dalam dokumen kot, tuntas fikiran aku merumus.
“Kamu
ni kenapa, dah gila, saya tanya kamu, kamu tanya dan jawab pada saya. Kamu ni
dah tak betul ke?”, sinis bos.
“Berkenaan
dengan tender hari ini, saya dah semak sebelum kamu hantar, Alhamdulillah semua
lengkap dan tersusun, tetapi ada juga salah tadi pada Jadual Teknikal, sedikit
sahaja, saya dah minta Karim betulkan sebelum dihantar semula, semua selesai,
awak tak perlu risau. Insya Allah jika ada rezeki, kita perolehinya. Ingat!,
rezeki Allah yang beri, kita berusaha secara HALAL untuk mendapatkannya”.
FUH,
lega hati yang pucat kusam. Kembali merah memberi sinar. Kalau ada cermin di
depan muka, boleh aku melihat muka ini daripada pucat kembali merah berdarah
memenuhi ruang pipi ku yang berjerawat.
“Saya
panggil kamu ke bilik ini bersebab, kamu adalah pekerja saya yang berdedikasi.
Setiap tugasan dan kerja yang saya beri awak lakukan dengan baik dan memenuhi
masa yang telah saya tetapkan”, puji bos
Aku,
kembang dan kempis hidung bagai dipam berawangan ke atas.
“Saya
harap kamu meneruskan kerja yang cemerlang ini, tahun lepas syarikat tak
berupaya memberi bonus sebab terdapat beberapa projek kita yang perlu ditambah
tempoh masa, ada kerugian yang perlu ditanggung oleh syarikat”, terang bos.
“Saya
tahu, ramai yang kecewa berkenaan dengan cerita bonus tahun lepas, tapi saya
rasa itulah yang terbaik syarikat boleh lakukan pada waktu itu. Projek berjuta
tidak semestinya untung pun berjuta. Dan ini memberi ujian sebenarnya kepada
kakitangan untuk lebih produktif pada tahun ini”.
“Mana
yang tak tahan, dan katakan hanya bos sahaja untung telah pun keluar daripada
syarikat ini, itulah ujian yang tersedia dan daripada kejadian inilah saya dapat
menilai di mana hati pekerja saya semasa syarikat menghadapi kesusahan”, luah
bos lagi.
“Saya
harap awak dapat bersama dengan syarikat ini seterusnya untuk tahun mendatang”.
“Orait,
bos”jawab aku sepatah.
“Nah,
ambil sampul ini, dalam ini ada cek untuk kamu, bonus tahun ini. Ada rezeki
lebih kita kongsi sama. Syarikat untung pun dari Allah yang beri. Saya anggap
saya ini seperti orang tengah, jambatan untuk menghubungkan rezeki kamu ini.
Rezeki ini milik semua. Dan tak salah saya berkongsi juga dengan kakitangan
saya. Saya harap awak terus bekerja dan beri komitmen yang tinggi dengan setiap
amanah kerja yang diberi”.
“Alhamdulillah,
terima kasih Allah, terima kasih bos”, ceria aku tunjuk gigi.
“Panggil
Karim”
“Eh,
bukan dia dah jumpa bos ke sebelum saya?”, tanya aku.
“Saya
panggil kamu dahulu sebabnya kamu ni tak kecoh murai seperti Buletin Utama
macam Karim”,jawab bos.
Aku
tergelak, “Hahaha, baik bos, saya menurut perintah”.
Aku
terus memanggil Karim untuk mengadap bos. Tangan kanan masih mengenggam erat
sampul berisi cek. Dengan gelisah tenang, aku carik membuka sampul;
AHMAD
DAUD BIN AWANG
LIMA
RIBU RINGGIT SAHAJA RM5,000.00
“Allah…,
Allah…, Allah… Maha… Besar…, Allah… Maha… Besar…”tersekat-sekat aku mengalun
menyebut nama Tuhan yang Satu. Mata berkaca tapi sempat disela agar tiada
tumpahan melimpahi takungan mata.
Terkejut,
aku terkejut, sepantas hari ini, Allah memberi janji-janjiNya. Manusia tidak
pernah yakin akan kuasa derma. Tapi hari ini, kejadian ini, mengubah persepsi
aku mengenai derma.
Sepantas
itu teringat kembali doaku selepas memasukkan kepingan RM50 ke dalam tabung
masjid tadi.
“Ya
Allah, jadikan hatiku ini bersih untuk ikhlas membantu agama Mu. Moga dengan
ini murah lah rezeki ku. Jika ada rezki ku yang halal Kau berkatilah Ya Allah,
jika ada rezki ku yang haram Kau sucikanlah Ya Allah, murahkan rezki ku untuk
kesenangan di dunia dan kesihatan di akhirat”, bergetar halus suara ku berdoa.
--> Ya, Allah Maha Mendengar, mendengar doa-doa hati hambaNya, itu kamu perlu Y.A.K.I.N
No comments:
Post a Comment